SEJARAH
Menurut laporan Negeri Brunei tahun 1933,
“The two ex-pupils of the Brunei Vernacular School who received training at the Sultan Idris Training College in Malaya assumed duty at the beginning of the year. The fruits of their training are becoming apparent. One was posted to the Brunei School and one to the Tutong School. At the suggestion of the Brunei teacher some 10 of the elder boys were enrolled as Boy Scouts. When these boys have been thoroughly trained it is hoped to form a troop.”
Guru-guru lepasan daripada Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak telah mencadangkan untuk menubuhkan Pasukan Pengakap dengan merekrut 10 orang ahli pengakap sebagai permulaan. Pada bulan Januari 1933 Awang Marsal bin Maun (Allahyarham Dato Seri Paduka Awang Haji Marsal bin Maun) yang merupakan salah seorang lepasan guru Brunei yang menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak dapat merealisasikan cadangan berkenaan dengan tertubuhkan satu pasukan pengakap yang mempunyai ahli 12 orang di Sekolah Melayu, Pekan Brunei.
Pergerakan pengakap di Brunei terus berkembang apabila pergerakan ini menubuhkan cawangannya di Daerah Tutong pada tahun 1936. Pasukan pengakap pertama di daerah Tutong ditubuhkan oleh Awang Othman bin Bidin (Allahyarham Dato Paduka Haji Othman bin Bidin). Beliau merupakan guru keluaran Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak.
Manakala pada tahun 1940, Pasukan pengakap pertama di Daerah Belait dengan seramai 40 orang ditubuhkan oleh Awang Md Salleh bin Awang Masri (Allahyarham Pehin Orang Kaya Laila Wangsa Dato Paduka Haji Mohammad Salleh bin Masri). Beliau juga merupakan guru keluaran Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak.Sementara di Daerah Temburong hanya dikenalpasti penubuhannya bermula pada tahun 1974.
Pada tahun 1939, Pengakap Negeri Brunei telah didaftarkan dibawah The Boy Scout Association di London. Dengan pendaftaran ini, Pengakap Negeri Brunei dapat membentuk Persatuan Tempatan Negeri Brunei (Brunei Local Association). Pertubuhan ini telah diasaskan oleh Awang Zainal Abidin bin Ali, Penguasa Pelajaran yang dipinjamkan oleh Kerajaan Tanah Melayu kepada Pejabat Pelajaran Brunei.
Sejak mula ditubuhkan dalam tahun 1933, pergerakan pengakap di Brunei melangkah setapak demi setapak mengikuti arus dan perkembangan pergerakan pengakap seluruh dunia sama ada di peringkat serantau mahupun antarabangsa.
Pada tahun 1976, pergerakan pengakap di Brunei menampilkan kewibawaannya dengan diterima menjadi Ahli Bersekutu dalam pergerakan pengakap Rantau Asia-Pasifik dan seterusnya dengan kesungguhan dan kecekalan serta semangat ke-Bruneian, pergerakan ini terus menunjukkan keyakinannya apabila pergerakan ini diterima menjadi ahli yang ke 117 dalam Organisasi Pergerakan Pengakap Sedunia (World Organization of Scouts Movement) dan Biro Pengakap Sedunia (World Scout Bureau) dalam Persidangan pergerakan ini yang diadakan di Dakar, Senegal pada tahun 1981.
Bagi memperingati penerimaan sebagai ahli dalam Pergerakan Pengakap Sedunia itu, Persekutuan Pengakap telah memilih setiap 1 Julai sebagai Hari Pengakap Brunei Darussalam. Pada 4 Oktober 1981, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Kesyukuran bertempat di Dewan Persantapan, Dewan Majlis. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis tersebut dan seterusnya berkenan mengurniakan watikah perlantikan Ketua Pengakap Negara Brunei Darussalam kepada Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Paduka Haji Awang Hussein bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Mohd Yusof (Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Paduka Dr. Haji Awang Hussain).
Seterusnya pergerakan pengakap diterima sebagai ahli dalam Kesatuan Pengakap Islam Antarabangsa (International Union of Muslim Scout atau IUMS) semasa berlangsungnya persidangan IUMS di Dakar, Senegal pada tahun 1995.
Penghormatan yang tertinggi bagi Pergerakan Pengakap Brunei ialah apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menjawat sebagai salah seorang PENAUNG KEHORMAT Organisasi Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM). Majlis menyembahkan watikah perlantikan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam telah disempurnakan di Istana Nurul Iman pada 1 November 1993 dimana Organiasi Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) diwakili sendiri oleh Setiausaha Agungnya ketika itu, Dr. Jaques Moreillon.
(Sumber Gambar daripada Albam Kenangan Pembukaan Bangunan Pertubuhan Pengakap 1971)